Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran : Siri 26/2018

73 views
SHARE

SURAH AL-KAHFI: MUSA DAN PENGEMBARAAN ILMU: 74-76

Firman Allah SWT serta terjemahannya :

فَانْطَلَقَا حَتَّىٰ إِذَا لَقِيَا غُلَامًا فَقَتَلَهُ قَالَ أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةً بِغَيْرِ نَفْسٍ لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا نُكْرًا (٧٤)

Kemudian kedua-duanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang budak lelaki lalu dia membunuhnya. Musa berkata, “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!”

قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرً (٧٥)

Dia menjawab, “Bukankah aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sama sekali akan bersabar bersamaku?”.

قَالَ إِنْ سَأَلْتُكَ عَنْ شَيْءٍ بَعْدَهَا فَلَا تُصَاحِبْنِي ۖ قَدْ بَلَغْتَ مِنْ لَدُنِّي عُذْرًا (٧٦)

Musa berkata, “Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara selepas ini, maka janganlah engkau biarkan aku menemanimu lagi; sesungguhnya engkau telah mendapat alasan-alasan untuk berbuat demikian.”

Tafsir Ringkas :

1. Ayat ini meneruskan episod kedua dalam pengembaraan Nabi Musa AS dan Khidir. Ia juga turut menguji kesabaran Nabi Musa AS dari menimbulkan sebarang persoalan namun Nabi Musa terus diserang keraguan apabila Khidir membunuh seorang kanak-kanak lelaki yang ditemui di dalam perjalanan mereka.

2. Melihat kejadian pelik itu, Nabi Musa AS rasa terkejut lantas bertanya kepada Khidir, adakah patut Khidir membunuh seorang budak lelaki yang bersih jiwanya (jiwa yang masih kecil dan belum mencapai usia akil baligh serta belum melakukan suatu dosa pun) malah menuduh Khidir melakukan satu perbuatan yang mungkar.

3. Khidir sekali lagi mengatakan yang Nabi Musa AS memang tidak boleh bersabar ketika bersamanya.

4. Nabi Musa AS meminta peluang terakhir dan berjanji tidak akan menemani Khidir lagi pada perjalanan seterusnya jika dia masih lagi bertanya tentang perkara-perkara yang akan Khidir lakukan sepanjang perjalanan nanti.

Pengajaran :

1. Antara adab dalam menuntut ilmu adalah bersabar mematuhi ajaran dan peraturan yang disampaikan oleh guru. Elakkan mendahului tindakan serta melanggar peringatan guru.

2. Kita mestilah menepati janji yang kita taburkan kepada orang lain kerana ia adalah perkara yang wajib dan sifat orang yang tidak menepati janji adalah sifat orang yang munafik.

3. Kita haruslah tabayyun atau membuat usul periksa setiap perkara yang orang lain lakukan bagi mengelakkan kita menuduh dengan melulu.

4. Membaca kisah ini, seolah-olah kita melihat ketidaksabaran Nabi Musa AS, maka janganlah pula kita memandang baginda dengan pandangan negatif. Tadabburlah kisah nabi ini dengan hati yang jernih dan jiwa yang positif kerana terlalu banyak ibrah dari kisah para nabi yang terakam dalam al-Quran.

Rujukan :
1. Al -Quran Al Karim & Terjemahan Al Ghufran
2.Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh :
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
26 Januari 2018 / 9 Jamadilawal 1439