Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Siri 14/2017)

40 views
SHARE

SURAH A-KAHFI: KESOMBONGAN PEMILIK DUA KEBUN & KEKUFURANNYA: 34-36

Firman Allah SWT serta terjemahannya:

وَكَانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَاحِبِهِ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَنَا أَكْثَرُ مِنْكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا (٣٤)

Dan dia mempunyai kekayaan besar, maka ia berkata kepada kawannya (yang mukmin) ketika bercakap-cakap dengan dia: “Hartaku lebih banyak daripada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat:”

وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ قَالَ مَا أَظُنُّ أَنْ تَبِيدَ هَٰذِهِ أَبَدًا (٣٥)

Dan dia memasuki kebunnya sedang dia zalim terhadap dirinya sendiri; ia berkata: “Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya,

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُدِدْتُ إِلَىٰ رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِنْهَا مُنْقَلَبًا (٣٦)

dan aku tidak mengira hari kiamat itu akan datang, dan jika sekiranya aku kembali kepada Tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada itu”.

Tafsir ringkas:

1. Ayat 34 – 35 menceritakan tentang sikap lelaki kafir yang memiliki dua kebun tersebut. Kesuburan kebunnya dan kekayaan yang dihasilkan daripada kebunnya telah menyebabkan dia menjadi sombong dan bongkak.

2. Lelaki itu dengan megahnya mengatakan bahawa kekayaannya lebih banyak dan kedudukannya lebih tinggi daripada saudaranya yg beriman tetapi miskin.

3. Lelaki kafir itu juga berbangga dengan pembantu dan pengikut yang ramai serta merasakan dirinya lebih berpengaruh.

4. Lelaki itu masuk ke kebunnya dalam keadaan zalim atau lupa diri. Kekufuran, keingkaran dan kesombongan telah menyebabkannya lupa bahawa segala yang dimilikinya adalah pemberian daripada Allah dan Allah juga berkuasa untuk melenyapkan segalanya bila-bila masa sahaja. Dia menyangka bahawa kekayaannya akan kekal selama-lamanya.

5. Kesombongan, kekufuran dan kecintaannya kepada ni’mat dunia telah menyebabkannya merasakan bahawa hari kiamat tidak akan berlaku. Perasaan itu timbul kerana kedangkalan pemikiran dan lemahnya keyakinan kepada Allah.

6. Nikmat harta dan pengaruh yang dimilikinya turut membuatkannya berasa dirinya sangat mulia lantas mendakwa jika dia dikembalikan kepada Tuhan, dia akan diberikan kebun yang lebih daripada apa yang dia ada sekarang.

Pengajaran:

1. Manusia selalu berbangga atau membangga-banggakan orang yang mempunyai harta dan kuasa (pengikut mahupun anak-anak).

2. Janganlah kita terlalu mengejar harta dan kuasa sehingga membuatkan kita lupa akan akhirat.

3. Harta dan kuasa juga boleh membuat kita lupa diri sehingga berasa diri sangat mulia padahal orang yang mulia di sisi Allah ialah orang yang bertakwa.

4. Semakin banyak ni’mat yang Allah beri, semakin banyak kita patut bersyukur dan dekat padaNya.

5. Jadikanlah harta dan pengaruh yang dimiliki sebagai usaha supaya Islam dimuliakan dan berpengaruh di dunia.

Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
Tarikh: 3.11.2017 / 14 Safar 1439H