Home Surat Pembaca

Sorotan Seminggu Ahli Parlimen PAS

625 views
SHARE

1. Pada petang Isnin 13 November, sesi pengundian Bajet telah berlangsung dengan hasil pengundian sebanyak 107 orang bersetuju, 59 orang menolak dan 11 orang berkecuali.

PAS memilih untuk berkecuali dalam hal kelulusan Bajet ini kerana sememangnya terdapat perkara bermanfaat di dalamnya, namun masih wujud perkara yang membebankan rakyat, seperti pelaksanaan cukai GST di dalam Bajet tersebut.

2. Pada Selasa 14 November 2017, Bajet yang telah diluluskan di peringkat dasar melalui proses seterusnya iaitu perbahasan di peringkat jawatankuasa (Kementerian).

Ahli Parlimen Bukit Gantang, YB Ustaz Idris Ahmad, Ahli Parlimen Temerloh, YB Ustaz Nasrudin Hassan dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Ustaz Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali telah diberikan tugas untuk membahaskan Bajet Jabatan Perdana Menteri. Antara isu yang dibangkitkan oleh mereka ialah mengenai peranan Institut Integriti Malaysia, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara, JAKIM, TV Al Hijrah, Pusat Tahfiz, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Pejabat Mufti Wilayah dan Suruhanjaya Pilihan Raya. Selain daripada itu, Ahli Parlimen PAS turut membangkitkan mengenai isu pelaksanaan Kaedah Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) bagi urusan umrah.

3. Pada Rabu 15 November 2017, Ahli Parlimen Dungun, YB Ustaz Wan Hassan dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, YB Dato’ Dr Nik Mazian bangun membahaskan Bajet Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Antara isu yang dibangkitkan ialah mengenai pembangunan industri padi, produk herba bernilai tinggi, usahawan muda, fungsi Agro Bank, dan MARDI.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Ustazah Siti Zailah pula ketika membahaskan Bajet Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi menyentuh mengenai bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil, kemajuan industri hiliran, dan penggunaan teknologi baru dalam memperkembangkan lagi produk yang berasaskan komoditi.

4. Bagi agenda soal jawab lisan, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, YB Dr Izani bertanya kepada pihak kerajaan mengenai langkah mengatasi masalah remaja lari dari rumah.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Ustaz Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali pula konsisten membangkitkan isu langkah penyelesaian masalah hakisan pantai yang berlaku di Parlimen Kuala Nerus. Soalan Ahli Parlimen Hulu Langat, YB DR Che Rosli pula mengenai pencapaian projek solar komuniti di Malaysia. YB Ustaz Ahmad Baihaki, Ahli Parlimen Kubang Kerian pula bertanya mengenai perkembangan Pusat Percetakan Al Quran yang menelan belanja RM 30 juta.

5. Pada hari Khamis 16 November 2017 pula berlangsungnya perbahasan Bajet Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dan Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi. Dalam ucapan perbahasan Bajet Kementerian Luar Negeri oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Ustaz Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali, beliau mencadangkan inisiatif yang lebih tegas oleh pihak Kerajaan dalam hal membela nasib Rohingya yang ditindas oleh Kerajaan Junta Myanmar. Beliau turut memuji Kerajaan Malaysia yang bertegas membela Dr Zakir Naik walaupun wujud tekanan dan pelbagai tuduhan melulu terhadap pendakwah tersebut. Peranan OIC juga turut dibangkitkan dalam menangani keselamatan negara ummat Islam seperti di Syria dan Yaman. Akhirnya, beliau menyentuh mengenai peranan Malaysia dalam membantu menyelesaikan konflik ummat Islam di Palestin yang sudah sekian lama ditindas oleh Zionis-Israel.

Mohd Shahir Abu Hassan
Pegawai Penerangan PAS Pusat