Home Kenyataaan Media PAS Perak

Siti Kasim Salah Faham Yang Perlu Dibetulkan

3,868 views
SHARE

DPPN Perak meneliti penulisan Siti Kasim dalam Facebook beliau melalui pautan https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10214229724239844&id=1317155576 dan https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10214308850777958&id=1317155576. Kami merasakan simpati dan kecewa diatas salah faham dalam hujah-hujah yang disampaikan.

Hujah Siti Kasim bersifat tidak menyeluruh dalam membahaskan samada hukum berkorban sebahagian dari rukun Islam. Dalam Islam selain dari hukum wajib yang diambil terus dari Al Quran, terdapat juga hukum sunat, harus, haram dan makhruh. Dimana kedudukan ibadah Qurban? Qurban merupakan ibadah Sunat Muakad dimana sunat yang dituntut untuk dilaksanakan. Terdapat beberapa dalil boleh dipetik dari Al Quran selain dari pengkisahan Surah Ibrahim yang tidak dipetik oleh Siti Kasim Antaranya:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur”. (Al-Hajj :36)

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

“ Daging-daging dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi Ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. “ ( Al Hajj : 37 )

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (Al-Kauthar :2)

Sememangnya bukanlah kisah Nabi Ibrahim a.s menyembelih Nabi Ismail a.s yang menjadi topik utama ibadah Qurban ini. Hakikatnya ibrah ketaatan atas ketaqwaan yang ingin ditekankan. Maka dengan itu Allah menggantikan qurban dengan seekor kibas. Ummat Islam memahami hakikat ibadah Qurban itu dan bukannya kisah si ayah mengorbankan anaknya. Kefahaman itu dibentuk juga dari hadis Rasulullah SAW:
Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” [Riwayat al-Tirmizi (1493)] [Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai hasan gharib].

Islam merupakan agama merentasi sempadan zaman dan negara. Apabila Siti Kasim menyatakan bahawa masyarakat moden kita kini tidak perlu mengamalkan ibadah qurban yang dilihat hanya bertujuan membunuh haiwan, harusnya Siti Kasim keluar dari dunia moden seketika dan ziarah ke negara bergolak dan minoriti Islam. Bukan hanya daging tidak pernah dijamah, bahkan kebuluran mati kelaparan. Melalui ibadah qurban ini dapat kita berkongsi rasa syukur atas nikmat Allah kepada kita bersama orang lain terutamanya golongan yang tidak berkemampuan.

DPPN Perak bersedia untuk berdiskusi dengan Siti Kasim andai itu dapat menyelesaikan salah faham yang berlaku kepada Siti Kasim. Dalam masa yang sama diingatkan agar mana-mana pihak tidak menulis atau mengeluarkan kenyataan diatas salah faham terhadap Islam. PAS komited dan bersedia menerangkan dan merungkai salah faham terhadap Islam samada dari masyarakat muslim mahupun bukan Islam.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
“Sedia Memerintah”


Hafez Sabri

Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak
Pengerusi Lujnah Dakwah DPPN Perak