Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Polemik Larangan Bertudung Berakhir : Syabas Persatuan Hotel!

611 views
SHARE

Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia
POLEMIK LARANGAN BERTUDUNG BERAKHIR : SYABAS PERSATUAN HOTEL!

“Hari ini, telah Aku sempurnakan bagi kalian, agama kalian. Dan Aku cukupkan untuk kalian nikmat-Ku, serta Aku redhai Islam sebagai agama kalian.” [Q.Surah Al Maidah: 3]

1. Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) melihat satu perkembangan baik dan positif apabila tiga persatuan hotel menandatangani akur janji tiada polisi larangan bertudung pada 8 Januari 2018.

2. Tiga persatuan itu adalah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang diwakili Presidennya, Cheah Swee Hee, Malaysian Association of Hotel Owners (MAHO) yang diwakili Pengarah Eksekutifnya, Shaharuddin M. Said dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MYBHA) yang diwakili oleh Ahli Majlisnya, Mohamed Zamri Mohamed Rashid.

3. Berikutan akur janji ini, lebih 3,000 hotel seluruh negara yang bernaung di bawah tiga persatuan hotel terbabit, membuka ruang kepada wanita Muslim bertudung untuk berkecimpung dalam dunia perhotelan.

4. Bagi DMPM, ia merupakan usaha yang sangat dialu-alukan dan membawa impak baru dalam dunia perhotelan di negara ini. Bukanlah sesuatu yang janggal wanita bertudung bekerja di hotel kerana semasa PAS menerajui Kedah di bawah pentadbiran Almarhum Menteri Besarnya, Tan Sri Azizan Razak, telah dikemukakan idea hotel Islamik di Langkawi yang dikenali sebagai Hotel Adya.

5. Pekerja wanita Muslim di hotel berkenaan memakai tudung dan dalam masa yang sama, sebarang unsur makanan tidak halal seperti arak adalah dilarang.

6. DMPM juga ingin menyarankan, sesuai dengan akur janji itu, pihak pengurusan hotel juga diminta menghormati hak wanita dan pekerja Muslim supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti yang melanggar syarak, contohnya yang berkaitan dengan arak.

7. Selain itu, Muslimat PAS juga ingin mencadangkan agar pihak pengusaha dan persatuan berbincang secara lebih mendalam berkenaan isu pelanggaran hak Muslim yang bekerja di hotel yang mengakibatkan polemik yang terjadi sebelum ini.

8. Dewan Muslimat PAS Malaysia sekali lagi mengucapkan syabas kepada tiga persatuan terbabit yang berusaha memastikan diskriminasi ke atas hak wanita Muslim dihentikan.

9. DMPM turut menyokong ketegasan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib yang mahu pemantauan berterusan dijalankan, bagi memastikan pematuhan akur janji yang telah ditandatangan sentiasa dipatuhi oleh semua pihak.

“Dan apa saja yang dibawa oleh Rasul, maka ambillah. Sedangkan apa yang dilarangnya, maka hindarilah. Bertakwalah kalian kepada Allah, karena Allah Maha keras seksa-Nya.” [Q.Surah Al Hasyr: 7]

“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
23 Jamadil Awal 1439H
9 Februari 2018