Home Kenyataan Media PAS Kedah

PERUTUSAN SEMBAH TAKZIAH DI ATAS KEMANGKATAN KE BAWAH DYMM TUANKU SULTAN KEDAH DARUL AMAN

8 views
SHARE

Hari ini merupakan detik kesedihan bagi seluruh rakyat jelata Negeri Kedah yang kehilangan Payung Negeri yang amat disayangi, Almarhum Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Almu’tasimubillahi Muhibbudin Tuanku Alhaj Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang telah mangkat dan kembali ke rahmatullah.

Patik bagi pihak Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah serta seluruh ahli-ahli PAS merakamkan sembah takziah kepada Ke bawah DYMM Tuanku Sultanah, Tuanku Hajjah Haminah binti Hamidun serta seluruh kerabat Di Raja Kedah Darul Aman di atas kemangkatan baginda. Semoga Allah mengurniakan ketabahan dan kesabaran kepada semua di atas kemangkatan tersebut.

Bagi PAS Kedah, pemergian baginda merupakan kehilangan besar terhadap rakyat dan negeri, yang sekian lama bernaung di bawah keadilan dan kesaksamaan pemerintahan baginda. Begitulah juga besarnya jasa baginda terhadap perkembangan Islam, perpaduan rakyat serta pembangunan di negeri ini.

Kami tidak pernah lupa jasa baginda dalam mempertahankan demokrasi dengan menghormati semua kerajaan yang dinaikkan dengan mandat rakyat. Sentuhan kebijaksanaan baginda dapat kami rasai sewaktu PAS bersama Pakatan Rakyat diberi peluang sepenggal mentadbir kerajaan.

Semua kenangan indah perihal tertibnya baginda menyantuni rakyat sepanjang pemerintahannya hanya wajar dicatatkan dengan tinta emas. Sudah pasti kenangan manis ini terpahat kukuh diingatan seluruh rakyat, kepada almarhum yang dianggap sebagai “Sultan Berjiwa Rakyat”.

Kami memanjatkan doa kehadrat Allah SWT semoga menempatkan roh Almarhum Tunku Abdul Halim bersama golongan yang dirahmati lagi diredhaiNya.

*Dr. Ahmad Fakhrudin bin Sheikh Fakhrurazi*
Pesuruhjaya PAS Kedah
11 September 2017