Home Artikel PAS Kedah

Penduduk dakwa pembalakan punca musibah di Sik

74 views
SHARE

SIK: Banjir lumpur melanda beberapa perkampungan serta kemusnahan kawasan tadahan air yang menjadi sumber minuman dan kegunaan harian penduduk didakwa berpunca dari pembalakan rakus di Bukit Enggang, di sini.

Namun, perkara itu bukan sahaja mengecewakan penduduk, malah menimbulkan rasa pelik apabila Adun Belantik dan Ahli Parlimen Sik dikatakan tidak mengetahui mengenai pembalakan besar di situ apabila masalah tersebut diajukan kepada mereka.

Antara penempatan penduduk yang terjejas sumber bekalan air dan dilanda banjir lumpur adalah Kampung Paya Terendam, Kampung Durian Burung dan Kampung Balong Ayam melibatkan lebih 100 rumah.

Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, Kerajaan Negeri Kedah mesti bertanggungjawab atas perkara tersebut di mana semestinya aktiviti pembalakan itu melibatkan kelulusan daripada pihak kerajaan.

Beliau turut percaya berlaku pelanggaran peraturan berkaitan yang menyebabkan kerosakan alam sekitar dan menuntut pihak berkaitan dibawa ke muka pengadilan kerana wujud keraguan munasabah.

“Adakah projek pembalakan ini mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang sepatutnya dibuat terlebih dahulu sebelum penebangan dilakukan kerana ia melibatkan keluasan sangat besar iaitu 500 hektar.

“Kita ragu kerana Bukit Enggang ini adalah tempat tadahan air yang sangat penting kepada penduduk di sebelah Daerah Sik ini. Sudah semestinya ia tidak diganggu dan perlu dipelihara sebaiknya.

“Tapi nampaknya kerajaan pimpinan BN ini tidak pedulikan lagi alam sekitar hingga sanggup meluluskan projek balak. Penduduk setempat tidak dapat manfaat, tetapi ditimpa musibah,” ujarnya kesal.

Bidasnya, Kerajaan BN Kedah menggunakan jalan singkat untuk mendapatkan pendapatan, tetapi sangat tidak bertanggungjawab apabila mengabaikan hal-hal penting seperti melibatkan sumber air penduduk.

Sehubungan itu, beliau juga meminta jabatan-jabatan berkaitan seperti Jabatan Perhutanan, JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran dan lainnya supaya tampil bersama menjelaskan perkara tersebut. – HARAKAHDAILY 23/11/2017