Home Artikel PAS Selangor

Pendirian PAS Tepat Dan Jelas (2)

566 views
SHARE


Oleh : Muhammad Najhan Halim 

Firman Allah swt surah al Anfal ayat 60,

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُوَن

“..Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya…”

PAS, Aset dan Jentera Parti 

1. PAS yang mempunyai kemampuan 190 kawasan aktif, 7000 buah cawangan dan keahlian mencecah 1 juta orang adalah merupakan parti kedua terbesar dalam negara ini.

2. Keupayaan dan ketumbukan ini usah dipandang enteng kerana dalam kancah politik dan pilihanraya, tenaga manusia adalah faktor terpenting dalam penentuan pergerakan dan operasi parti tanpa menolak aspek lain seperti strategi dan media.

3. Beberapa siri pilihanraya umum dan kecil sebelum ini, PAS pada ketika itu berada dalam tahaluf politik dan kerjasama, jentera dan kekuatan ahli PAS seluruh dikerahkan untuk menyumbang tenaga dan kepakaran mereka kepada parti kawan. Malah wang ringgit dan sumbangan derma ahli PAS turut dilimpahkan untuk mempastikan kemenangan rakan politik PAS.

4. Kesetiakawan yang ditunjukkan PAS sewaktu bertahaluf dan bertaawun diakui oleh semua pihak, bagaimana PAS adalah kawan yang mampu dipercayai sekalipun berbeza parti dan dasar perjuangan tetapi memiliki sasaran yang sama iaitu ingin menang dalam pilihanraya.

5. Boleh dikatakan semua kerja-kerja berat pilihanraya seperti memasang dan gantung bendera, panjat pokok, tampal poster, atur ceramah, unit keselamatan, mengawal lalulintas dan orang ramai, peranan Jabatan Amal, persiapan lokasi ceramah, sebaran risalah, rayu undi, polling and counting agent, petugas barung, kesetiausahawanan dan pejabat, markaz pilihanraya dan berbagai-bagai lagi yang hampir dimonopoli oleh petugas dan jentera PAS.

6. Pihak parti kawan bolehlah dikatakan hanya basuh kaki sahaja ke dalam rumah yang semuanya telah disiapkan oleh PAS. Pemimpin parti kawan hanya datang berceramah, berjabat tangan dan bertemu pengundi dan rakyat,  tetapi kerja-kerja disebalik semua itu telah disediakan oleh PAS.

7. Adapun aset PAS, sangatlah banyak. Penulis sendiri menganggarkan bahawa aset PAS daripada markaznya, pusat tarbiyyahnya, bangunannya dan tanahnya, kenderaan rasmi parti, peralatan pejabat, wang simpanan di bank, serta wang ringgit di poket ahlinya yang pada bila-bila masa boleh disalurkan kepada parti, semua ini mampu mencecah ratusan juta ringgit dan mungkin mencecah RM 1b. Inilah kehebatan PAS. Kalau tuduhan PAS tagih duit RM 90 juta itu adalah terlalu sedikit berbanding dengan kemampuan PAS.

8. Keputusan PAS dalam tahaluf adalah satu realiti pahit yang terpaksa ditelan oleh rakan lama PAS bahawa PAS memiliki sesuatu yang mereka tidak miliki iaitu jentera dan aset yang mencukupi. Tambahan pula, PAS walaupun tidak bersama lagi dengan mereka,  PAS mempunyai kelebihan tersendiri dan kepakaran yang mampu mengisi kelompongan yang dirobek keluar daripada PAS.

9. Kini, dalam suasana PRU-14 yang amat hampir, PAS dalam memimpin Gagasan Sejahtera dengan Ikatan, Berjasa, Cinta Malaysia akan menumpukan sepenuh tenaga dan upaya serta kelebihan yang PAS miliki untuk memastikan PAS beroleh cita-citanya untuk menegakkan Islam.

10. Ahli PAS dan petugas pilihanraya PAS kini lebih bersemangat dan bermotivasi tinggi untuk berjuang memenangkan parti mereka sendiri dan parti kawan yang menghormati dasar dan cita-cita PAS.

11. Mereka seolah-olah sudah serik dan jemu dengan karenah bermuka-muka bekas rakan politik PAS yang sewaktu pilihanraya datang bertemu PAS dengan wajah tanpa bersalah dan merayu bantuan daripada PAS. Akan tetapi selepas mencapai kemenangan dan pilihanraya, melayani PAS seumpama peminta sedekah.

12. Buktinya rata-rata program yang dianjurkan PAS mutakhir ini samada berbentuk himpunan jentera petugas pilihanraya, program liqa fikri, tarbiyyah dalaman dan juga mesyuarat ahli jawatankuas PAS di semua peringkat,  kita pasti menyaksikan bagaimana sambutan luar biasa yang ditunjukkan oleh kepimpinan, ahli dan juga petugas parti.

13. Ini adalah signal jelas bahawa ahli pendokong dan penggerak parti PAS berada dalam mode yang sangat bermotivasi dan kuat. Mereka sudah bersedia dan tunggu masa diarah oleh pucuk pimpinan PAS apabila gendang jihad pilihanraya dipalu.

14. Insya Allah pada kali ini aset terpenting PAS ini bakal diaplikasikan pada tahap yang semaksimum mungkin bagi memenangkan Islam dalam pilihanraya akan datang dan juga apa juga situasi.

Sejahtera Bersama Islam

Penulis adalah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
11 Januari 2018 bersamaan 24 R. Akhir 1439H