Home Artikel PAS Selangor

Pemahaman WINS Persediaan Muslimat PAS Serdang Hadapi PRU-14

146 views
SHARE

BANGI, 10 Januari – “Muslimat PAS Kawasan Serdang perlu menjadi ejen penerangan kepada rakyat terutama berkenaan Wawasan Induk Sejahtera (WINS) yang telah dilancarkan oleh Presiden PAS, Yang Berhormat Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.” Kata Ketua Muslimat PAS Kawasan Serdang Puan Hamsatul Hamzah semasa ucapannya di Usrah Haraki Gen3 sebentar tadi.

Usrah yang mengupas tajuk Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) ini telah disampaikan oleh Puan Nadhirah Khalid dari Ameerah Malaysia.

Ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada seluruh ejen penerangan muslimat kawasan memahami dengan lebih mendalam berkenaan WINS.

Menurut Puan Hamsatul juga, muslimat PAS perlu terus menggali ilmu berkenaan tawaran PAS kepada rakyat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sejahtera dan berkebajikan di dalam pelbagai aspek.

“Walau banyak mana pun kita perlu pergi dan hadir untuk mendapatkan penerangan tentang tawaran PAS iaitu WINS dan Dokumen Hijau (DH), pergilah jangan pernah penat. Dapatkan sebanyak mungkin kefahaman sehingga mampu menerangkan kepada orang lain dengan penuh yakin”.

Beliau turut mengharapkan agar jentera muslimat tidak mengabaikan pengundi muda dalam memberi penerangan yang berkesan tentang WINS dan DH.

Selain itu, beliau turut menyeru agar muslimat Serdang dapat turun beramai-ramai ke Kuala Selangor pada 21 Januari akan datang untuk menjayakan program Fastaqim 2.4 anjuran PAS Selangor.