Home Artikel PAS Perak

PAS Sarankan SPRM Tangani Rasuah Lebih Serius

117 views
SHARE

PAS Sarankan SPRM Tangani Rasuah Lebih Serius
Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi

PARIT BUNTAR : Adun Titi Serong, Ustaz Abu Bakar Hussain dalam ucapan perbahasan Bajet 2018 Perak yang lalu menyarankan agar SPRM mengamalkan sikap turun padang dalam menangani isu rasuah di Perak secara serius ,telus tanpa mengira kedudukan.

Tegas beliau, SPRM tidak hanya sekadar berkhemah di pejabat menteri besar tetapi perlu mengambil tindakan pro aktif bertemu rakyat, bertanya dan mendapat maklumat dari peringkat bawahan.

Tambahnya, dalam kalangan rakyat lebih arif siapa di antara orang-orang terlibat dalam rasuah sama ada pemberi dan penerima rasuah, penyelewengan wang rakyat, mereka yang terlibat dengan sendiket bahkan ada menerima wang imbuhan bulanan serta lain-lain salahguna kuasa.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas berkaitan peranan SPRM dalam menangani krisis rasuah dan peranannya kepada masyarakat.

“Mereka ada rekod bermula dari peringkat kampong JKK sehingga ke peringkat pegawai atasan dan orang politik, oleh kerana itu SPRM perlu turun memantau di pejabat serta agensi kerajaan terutama di agensi yang berpotensi tinggi terlibat rasuah.

“SPRM perlu turun ke kampung bagi mendapat maklumat status projek jalan, perumahan serta projek-projek di bawah pembinaan kerajaan dan swasta terutamanya yang terbengkalai sekian lama.

“PAS tidak melontar dakwaan rasuah dan penyelewengan kepada mana-mana pihak namun apabila sesuatu projek terbengkalai, terbiar, tidak berkualiti dan tidak mengikut spesifikasi dan tiada sebarang tindakan diambil maka ia menimbulkan pelbagai spekulasi,” ujarnya.

Beliau berpandangan bahawa bila berlaku keadaan tersebut itulah ruang untuk SPRM membuktikan kecemerlangan mereka berusaha menyelesaikan isu hingga sampai ke tahap sifar rasuah serta menghukum mereka yang terlibat.

Katanya, kerajaan perlu belajar bagaimana negara-negara luar menangani isu rasuah yang ternyata berjaya. Kesungguhan, ketelusan serta keikhlasan SPRM adalah kunci kejayaan.