Home Artikel AS Kedah

PAS Sangkal Dakwaan 40 Orang Ahli PAS Kg Perik Padang Terap Sertai PAN

260 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA PAS KAWASAN PADANG TERAP

15 Mei 2017

Merujuk berita akhbar Sinar Harian bertarikh 15 Mei 2017 yang menyebut bahawa seramai 40 orang ahli PAS Cawangan Kg Perik Mukim Kurung Hitam telah menyerahkan borang menyertai PAN kepada Dr Hatta Ramli dalam suatu majlis ceramah yang diadakan disitu, PAS Kawasan Padang Terap menegaskan bahawa PAN sanggup menipu rakyat demi meraih sokongan dan menjadi popular.

Serangan bertalu-talu PAN terhadap PAS mutaakhir ini mengambarkan bahawa parti itu tiada halatuju yang jelas dan sangat bertentangan dengan slogan yang sering dilaungkan iaitu Islam rahmat bagi sekalian alam.

PAN sudah kehabisan modal dan ketandusan isu untuk menyambung nyawa dalam dunia politik apabila menjadikan PAS dan ahli-ahlinya sebagai sasaran serangan mereka.Mungkin kerana tidak ada sambutan rakyat,terlalu hampir PRU14 dan terdesak meraih sokongan rakyat dengan keahlian PAN di daerah Padang yang terlalu sedikit , mereka terpaksa bertindak berbohong mengatakan 40 ahli PAS Kg Perik menyertai mereka.

PAS Kawasan Padang Terap menegaskan tiada ahli-ahli parti seramai 40 orang dari cawangan Kg Perik keluar parti dan menyertai PAN. Kami mencabar pihak PAN mengeluarkan senarai nama 40 orang ahli PAS tersebut kepada umum jika mereka ada sedikit maruah sebagai orang Islam yang tahu soal dosa dan pahala.

PAS Kawasan Padang Terap terus menjadi pilihan rakyat dengan menjadi satu-satunya parti Islam yang terus konsisten memperjuangkan nasib rakyat dan agama suci Islam. Isu bandaraya getah yang dijanjikan kepada penduduk Padang Terap oleh BN semenjak PRU yang lepas, isu bekalan air, isu pendapatan dan beban kos sara hidup rakyat , isu kebajikan rakyat antara agenda yang menjadi keutamaan PAS Kawasan Padang Terap sebagai sebuah parti yang tidak hanya bergerak melalui politik, tetapi menjadikan pendidikan , dakwah dan kebajikan sebagai teras agenda perjuangan.

USTAZ MOHD AZAM ABD AZIZ
YANG DIPERTUA PAS KAWASAN PADANG TERAP