Home Artikel PAS Sabah

PAS Sabah buat laporan polis terhadap bekas Ketua Polis Negara.

231 views
SHARE

SANDAKAN : PAS Sabah melalui Timbalan Pesuruhjaya 3, Sahar Abdul Majid telah membuat suatu laporan polis terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor di Balai Polis Sandakan dekat sini hari ini.

Menurut Sahar, laporan ini dibuat bagi membolehkan suatu siasatan dibuat oleh pihak polis terhadap Rahim Noor berasaskan undang-undang tertentu.

Katanya lagi, ini berikutan kenyataan Rahim Noor di sebuah forum bertajuk “Malaysia In The Future” yang disiarkan oleh surat khabar Daily Ekspress di muka surat pertama edisi Bahasa Malaysia.

Menurutnya, surat khabar tersebut melaporkan bahawa Rahim Noor telah menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak mungkin mengambil keputusan untuk meninggalkan Persekutuan Malaysia jika kerajaan tunduk kepada tuntutan PAS untuk melaksanakan hudud semata-mata untuk memastikan Umno terus berkuasa.

Tambahnya, Rahim Noor juga menyebut bahawa bukan sahaja kedua-dua negeri di Borneo itu mungkin akan keluar bahkan seluruh negara akan berada dalam keadaan huru hara jika parti Islam itu mendapat apa yang dituntutnya.

“Rahim Noor juga mendakwa langkah Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) adalah satu taktik untuk mendesak pelaksanaan hudud, dan sangat berbahaya kerana ia menyebabkan bukan Islam merasa tidak senang,” kata Sahar.

Jelas Sahar, kenyataan-kenyataan-kenyataan tersebut bersifat fitnah terhadap PAS serta undang-undang hudud serta bersifat provokasi.

Katanya lagi, kenyataan tidak bertanggungjawab itu boleh membawa kepada kebencian terhadap Islam dan undang-undang hudud, dan sekaligus boleh menyebabkan kekacauan di Sabah.

“Justeru itu, PAS membuat laporan polis di seluruh Sabah bagi membolehkan siasatan tertentu dibuat ke atas Rahim Noor sekaligus bagi menjaga keharmonian beragama di Sabah ini,” jelasnya.

Selain Sandakan, tiga laporan polis lain turut dibuat di daerah lain iaitu Kota Kinabalu, Kota Belud dan Tawau yang disertai oleh pimpinan PAS Sabah antaranya Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Sabah, Ahmad Dullah; Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Sabah, Ust Awang Laiman Ikin, Ketua Dewan Ulamak, Ust Mustakim Aling dan Ketua Pemuda, Zulzaim Hilmee Abidin.