Home Artikel PAS Sabah

PAS Sabah anjur Makan Malam Amal sempena Hari Malaysia

90 views
SHARE

SANDAKAN : Sempena Hari Malaysia, PAS Sabah pada 16 September lalu telah menganjurkan Makan Malam Amal di Dewan Tadika Chi Hwa dekat sini.

Penganjuran Makan Malam Amal ini bertujuan untuk mengumpul dana pilihanraya bagi menampung kerja-kerja pilihanraya umum yang bakal tiba tidak lama lagi.

Dalam ucapan Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling berhasrat agar pilihanraya umum kali ini dapat melahirkan anak sulung buat PAS Sabah hasil dari penganjuran Sambutan Hari Malaysia PAS Pusat di Negeri Sabah.

“Dengan kejayaan penganjuran Hari Malaysia di Sabah ini dapat menyuntik semangat kita untuk bersungguh-sungguh melaksanakan kerja-kerja parti bermula hari ini bagi menghadapi pilihanraya umum yang bakal tiba sehingga membolehkan kita melahirkan anak sulung PAS di Negeri Sabah ini,” katanya.

Selain itu, turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan beberapa ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat serta Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ust Tuan Ibrahim Tuan Man yang sekaligus melancarkan Dana Pilihanraya PAS Sabah.

Dalam ucapan perasmian, Tuan Ibrahim menyentuh tentang kepentingan sebagai ahli PAS mengingati peristiwa Perang Ahzab ketika Nabi Muhammad SAW sedang berhadapan dengan dua kumpulan tentera bersekutu samada dengan perang bersenjata atau perang minda.

“Perlunya kita mengingati peristiwa perang ahzab sebagaimana yang telah dikatakan oleh Presiden PAS kerana peristiwa tersebut hampir sama seperti apa yang berlaku dengan kita yang berhadapan dengan dua kumpulan yang berbeza iaitu BN dan Pakatan Harapan,” jelasnya.

“Al-Quran menegaskan inilah janji Allah dan Rasul, meminta kita untuk bersedia dan bersabar dengan matlamat dan komitmen serta keyakinan pertolongan Allah SWT,” tambahnya.

Di akhir ucapan, Tuan Ibrahim menyeru agar semua jentera pilihanraya PAS memfokuskan gerak kerja ke arah pilihanraya.