Home Artikel PAS Selangor

PAS PUCHONG | “Persiapkan Jentera Tanding Parlimen, Pertahan DUN Dimenangi”

344 views
SHARE


PAS PUCHONG SIAPKAN JENTERA TANDING PARLIMEN, PERTAHAN DUN DIMENANGI

Mohamed Fadh Ibrahim
25 Disember 2017

PUCHONG – Jentera PAS Puchong berikrar akan pertahankan Dun Seri Serdang dan sedia untuk menawan Parlimen Puchong.

Dalam satu majlis Himpunan Jentera PRU 14 PAS Puchong yang berlangsung pada 25 Disember 2017 yang lalu, bertempat di Padang Awam Jalan Teratai Puchong Perdana, PAS Puchong telah menghimpunkan lebih daripada 300 orang jentera bagi membuktikan bahawa kesediaan sepenuhnya menghadapi PRU 14 yang dijangkakan pada Mac 2018.

Menurut kenyataan Yang Dipertua PAS Puchong, Ustaz Mohd Soffiean Ismail, “Walaupun dalam keadaan suasana politik yang berbeza dengan PRU yang lepas, PAS tidak gentar sebagai blok ketiga untuk melawan BN dan Pakatan Harapan. Sebagaimana saranan Tuan Guru Presiden, PAS akan bertanding seberapa banyak kerusi Dun dan Parlimen.”

Tambah beliau, “Kita nak mempertegaskan komitmen kita untuk terus berkhidmat kepada rakyat di Dun Seri Serdang atas kemenangan yang diberikan dengan majoriti yang banyak pada PRU yang lepas. Kita merayu rakyat, khususnya bagi pengundi, pemilih-pemilih dalam Dun Seri Serdang untuk terus memberi kepercayaan kepada Pas dalam PRU kali ini”

“Kekuatan jentera yang telah bersedia, telah kita selaraskan bagi mempertahankan Dun Seri Serdang dan kita juga putuskan untuk menawan Parlimen Puchong.”

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir  Bin Datuk Mohd Shahir berkata, PAS komited untuk terus menerajui kesejahteraan Selangor melalui Gagasan Sejahtera setelah tidak lagi bersama Pakatan Harapan.

Ujar beliau, “Bila kita tak ada hubungan politik lagi dengan PKR dan DAP, bermakna semua kerusi di Selangor itu boleh ditandingi oleh PAS.

“Suka tak suka, kita perlu akui pengundi teras PAS ialah Melayu Islam, justeru kawasan yang mempunyai 40 peratus pengundi Melayu menjadi kerusi yang wajar PAS tandingi.

Tambah beliau lagi, “Arahan kepada semua jentera pilihan raya di peringkat Dun dan Parlimen berkenaan telah dikeluarkan,” katanya kepada Harakah ketika hadir ke Himpunan Jentera PRU14 PAS Puchong.

Turut bersama dalam majlis tersebut  adalah Bendahari PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Haji Razman Bin Zakaria.

Menurut beliau, “PAS masuk pilihanraya kali ini kita nak memerintah, sebab itu Tuan Guru Presiden telah menyatakan bahawa daripada 222 kerusi Parlimen dalam Negara kita, PAS dan Gagasan Sejahtera akan bertanding 130 kerusi dan ke atas.

“Untuk membentuk kerajaan Malaysia, kita perlukan sekurang-kurangnya 112 kerusi. Sebab itu kita menyeru kepada rakyat Malaysia untuk memberi kepercayaan kepada PAS.”

“Melalui Gagasan Sejahtera ini, kita tidak kira berapa penjuru sekali pun akan bertanding kerana tawaran kita adalah politik penyelesaian kepada permasalah rakyat melalui Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051).

Pada malam majlis tersebut juga, PAS Puchong telah melancarkan gagasan Puchong Sejahtera, sesuai dengan apa yang telah dibawa oleh PAS Pusat dan Pas Selangor sebagai sebuah budaya politik yang merentasi sempadan agama, politik, bangsa dan budaya.