Home Artikel PAS Sabah

PAS lakar sejarah, sambut Hari Malaysia di Sabah.

1,645 views
SHARE

SANDAKAN : Parti Islam Semalaysia (PAS) pada 16 September lalu melakar sejarah apabila buat julung kalinya berjaya menganjurkan Sambutan Hari Malaysia di Dewan Tadika Chi Hwa dekat sini.

Program yang dikelolakan oleh Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Pusat dengan kerjasama PAS Sabah itu telah menarik minat ramai segmen masyarakat apabila mereka turut menghadiri program tersebut. Bermula dengan ketibaan pimpinan PAS Pusat pada petang 15 September yang disambut dengan protokol oleh anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah (JAMNS) dan Jabatan Briged Muslimat Negeri Sabah (JBMNS).

Malam itu Bilik Selingan, Hotel Sandakan dipenuhi dengan pimpinan PAS Pusat untuk sesi Mesyuarat Kali Ke Enam yang buat pertama kalinya diadakan di Sabah. Program Sambutan Hari Malaysia pula diteruskan pada sebelah pagi 16 September sehingga ke petangnya. Seawal jam 6.00 pagi lagi para petugas sudah bersedia di tapak program bagi memastikan aktiviti yang dirancang berjalan dengan lancar.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang sambutan diadakan antaranya Perarakan Jalur Gemilang yang menghimpunkan puluhan motosikal dan kereta membawa jalur gemilang, bendera negeri-negeri serta bendera PAS mengelilingi Daerah Sandakan yang memasuki kawasan bandar dan kampung.

Aktiviti ini yang telah dikendalikan oleh Alternative Riding Club (ARC) Pemuda PAS Sabah dengan kerjasama JAMNS telah menarik minat ramai masyarakat apabila mereka turut bersorak gembira dan mengibarkan jalur gemilang di tepi-tepi jalan.

Perakaran ini kemudiannya disambut oleh Dato’ Ust Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS selaku tetamu kehormat sambutan dengan gimik penerimaan jalur gemilang daripada ketua perarakan YB Ust Idris Ahmad, Naib Presiden PAS.

Seterusnya, Persembahan Deklamasi Sajak Dalam Bahasa Kaum, Gimik Pelancaran Logo Hari Malaysia, Peragaan Pakaian Tradisi mewakili Suku Kaum Bajau, Sungai, Suluk, Brunei, Kadazan-Dusun, Rungus, Tambanuo dan lain-lain turut diadakan.

Selain itu, Forum Santai Anak Muda “Semangat Cintakan Malaysia” juga mengangkat semangat cintakan negara para hadirin yang hadir.

Turut dilaksanakan pada hari tersebut ialah Demo Masakan Tradisi Pelbagai Kaum termasuk Bajau, Banjar, India, Buton, Bugis, Suluk dan lain-lain.

Pertandingan Mewarna dan Pertandingan Futsal Hari Malaysia juga mewarnai program ini apabila kanak-kanak dan anak muda termasuk dari kaum Tiong Hua mengambil bahagian dalam menjayakannya.

Dalam majlis perasmian pula, perasmi yang merangkap Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ust Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan perasaan bangga atas sambutan daripada pelbagai etnik di Sabah dan parti politik yang sudi hadir ke program yang dianjurkan PAS ini.

Katanya, perpaduan yang wujud ini perlu dipeliharan kerana ia selaras dengan apa yang diperjuangkan ketika pemulaan pembentukan Malaysia 54 tahun yang lalu. Tuan Ibrahim turut menyatakan bahawa perjuangan PAS walaupun berlandaskan Islam tapi gagasan Islam yang PAS terjemahkan adalah apa yang disebutkan oleh Allah dalam Al-Quran untuk memberi rahmat kepada seluruh alam.

Tambahnya, ayat Al-Quran yang mengajarkan nilai ini bukan sahaja ditujukan untuk orang Islam tapi termasuk juga untuk orang bukan Islam kerana keadilan yang ada dalam ayat tersebut.

“PAS juga beri jaminan kepada rakan-rakan parti lain dan rakyat yang bukan Islam sekiranya PAS diberi mandat, PAS akan berlaku adil untuk mengagihkan kekayaan negara seadilnya kepada seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit,” jelasnya.

“Jaminan ini bukan dari PAS sahaja tapi jaminan ini adalah jaminan dari dasar yang PAS pegang bersungguh iaitu Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW,” tambahnya.

Selesai memberikan ucapan perasmian, majlis serta merta diserikan dengan paluan kompang yang bergema ke seluruh dewan dan menambahkan kemeriahan majlis. Terdahulu ketika menyampaikan ucapan, Pengerusi LPN PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata PAS mahu lihat rakyat negeri Sabah khasnya dan Malaysia amnya hidup dengan aman dan diberikan hak yang sepatutnya oleh kerajaan memerintah.

Katanya, PAS berbangga kerana dapat melihat masyarakat Sabah yang meraikan perbezaan dalam kepelbagaian kaum serta suku dan di celah-celah ini PAS pula bertugas untuk menyampaikan mesej Islam yang adil dan sejahtera kepada seluruh rakyat.

Ketua Penyelaras program yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Sabah, Sahar Abdul Majid pula melahirkan perasaan syukur dan berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh pimpinan PAS Pusat bagi menjayakan Sambutan Hari Malaysia di Sabah. Sahar turut memuji pengunjung yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum kerana bersusah payah hadir ke sambutan bagi sama-sama menjayakannya.

Sambutan yang tamat pada pukul 4.00 petang itu turut dihadiri oleh kira-kira 40 orang pimpinan PAS Pusat dan Pesuruhjaya (PJ) PAS Negeri-negeri seperti YB Ust Idris Ahmad, Naib Presiden; YB Dato’ Iskandar Samad, Naib Presiden; YB Dato’ Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung; Ust Khalil Abdul Hadi, Ketua Pemuda; N.Balasubramaniam, Ketua DHPP; Jofri Jaraiee, PJ Sarawak dan lain-lain.

Disamping itu, antara pemimpin PAS Sabah yang hadir ialah Aminuddin Aling, Pesuruhjaya; Ahmad Dollah, Timbalan Pesuruhjaya 1; Ust Awang Laiman Ikin, Timbalan Pesuruhjaya 2; Dr Aliakbar Gulasan, Setiausaha; Norsah Bongsu, Ketua Muslimat; Zulzaim Hilmee Abidin, Ketua Pemuda dan lain-lain.