Home Selangor

PAS KLANG | “TN50 VS WINS” : Kita Mahu Keluar Dari Politik Konvensional”

91 views
SHARE


TN50 VS WINS, KITA MAHU KELUAR DARI POLITIK KONVENSIONAL.

Medan politik adalah pertempuran idea bagi menyelesaikan kemelut negara. UMNO BN memperkenalkan Transformasi Nasional 2050 (TN50), sebagai ganti kepada Wawasan 2020 mereka. Sementara PAS yang mendukung dasar Islam menawarkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

Persaingan ini antara bukti PAS tetap konsisten menentang UMNO sebagai musuh tradisinya, berbekalkan solusi Islam yang menjadi dasar perjuangannya. Berikut beberapa sudut penting yang perlu diperhalusi demi menguruskan politik mutakhir yang sedang mengalami perubahan.

⚫ Tepu Politik.

Dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan, kita perlu menyedari bahawa Malaysia menuju ke arah suasana politik yang kian tepu. Inilah yang telah berlaku di negara-negara Barat, apabila rakyat menganggap golongan politikus semuanya sama sahaja. Bahkan dalam karya-karya satira, mereka mengekspresikan bahawa politikus merupakan spesis manusia yang paling tidak boleh dipercayai.

Ini menyumbang kepada masalah hilang kepercayaan kepada politik, lantas menyebabkan rakyat sudah mula malas mengundi. Selain dari faktor kurang rasa tanggungjawab, rakyat kecewa dengan politik liar yang dikendalikan oleh golongan pemerintah dan golongan pembangkang.

⚫ Hilang Kepercayaan.

Golongan muda terutamanya mengalami masalah ini, barangkali kerana mereka sedang fokus membina hidup. Lantaran merasa serabut dengan politiking yang tidak habis-habis antara parti politik.

Isu-isu dimainkan bukan untuk diselesaikan secara tuntas, tetapi hanyalah untuk menyah-kreditkan parti lawan semata-mata. Suasana ini menghasilkan persepsi bahawa parti-parti politik yang ada sebenarnya tidak serius menyelesaikan masalah negara.

⚫ Eksperimen Rakyat.

Rakyat telah memberi peluang kepada parti-parti politik untuk menunjukkan kompitensi masing-masing dalam memerintah. Gelombang Pakatan Pembangkang pada PRU12 meledakkan kejutan sehingga UMNO terlepas beberapa negeri mereka.

Namun setelah beberapa tempoh, isu integriti yang terpalit pada UMNO, turut terpalit pada parti-parti politik pembangkang setelah masing-masing beroleh sedikit kuasa. Maka tidak sedikit yang menganggap, UMNO BN dan Pembangkang 2×5 sahaja lagaknya setelah beroleh kuasa.

⚫ Kita Mahu Keluar Dari Politik Konvensional.

Inilah mesej cukup penting yang diungkapkan oleh Strategis PAS, al-Marhum Prof Dr Khazani ketika beliau membentangkan gagasan-gagasan segar PAS yang disusunnya. Beliau mengamati bait-bait nas dari Tuan Guru Presiden PAS, kemudian menterjemahkannya kepada lakaran strategi yang boleh didokumenkan.

Maka dari usaha beliau bersama pasukannya, melahirkan gagasan-gagasan baharu PAS. Sebagai usaha menyelamatkan PAS dari terus tenggelam dalam arus politik konvensional yang kian berkecamuk. Pembawakan yang tidak bersama-sama dengan kediktatoran UMNO BN, pada masa yang sama juga tidak bersama-sama politik celaru Pakatan. Agenda tersebut terbahagi kepada beberapa produk:

• WINS : Wawasan Induk Negara Sejahtera. Sebagai perancangan jangka masa panjang PAS menjelang tahun 2051 untuk memperbaiki pelbagai masalah kronik yang melanda negara. Merupakan reaksi PAS terhadap jangkaan kegagalan Wawasan 2020, sekaligus alternatif kepada TN50 tajaan UMNO BN.

• BPMS : Budaya Politik Matang & Sejahtera. Budaya politik Islami yang menyanggahi budaya politik liar.

• Dokumen Hijau : Sebagai cadangan solusi kepada krisis ekonomi negara yang realistik sekiranya PAS beroleh kuasa.

Melalui 3 produk ini, membuktikan PAS benar-benar serius dan berupaya memimpin perubahan. Bukan semata-mata dengan slogan dan gimik politik yang bersifat sementara. Cita-cita yang dibawa oleh Tuan Guru Presiden agar PAS menjadi kepala keretapi, bukan gerabak yang hanya mengikut dorongan arus pihak lain. Ia boleh terealisasi sekiranya gagasan-gagasan penting ini dipasarkan. Sekaligus memunculkan PAS sebagai peneraju Blok Ketiga di persada politik nasional.

⚫ Info & Ilmu.

Satu persoalan, selama ini di dalam kempen-kempen politik, apakah kita mengilmukan rakyat atau sekadar mendedahkan info maklumat kepada mereka? Sedangkan untuk menilai dan membuat keputusan, rakyat memerlukan ilmu.

Politik kita bukan semata-mata menyalurkan info maklumat dan pendedahan isu, kemudian bakar sentimen rakyat, diakhiri dengan kempen undilah kami. Sebaliknya yang perlu disedari, info maklumat akan terawang-awang melainkan ia mesti disimpulkan dengan ilmu yang menyelesaikan.

Sudah pastilah komitmen tersebut perlu digalas oleh bukan sebarangan orang. Malah kepakaran ilmu solusi Islam perlu diperturunkan agar pendukung-pendukung PAS menjadi jurucakap yang efektif demi memahamkan orang ramai terhadap dasar Islam dukungan PAS.

⚫ Menuntut Perubahan.

Di kala rakyat sedang mencari politik yang bersifat penyelamat, kita tidak perlu terbawa-bawa dengan sikap politik konvensional.

Sebagai sebuah gerakan Islam yang terlibat dengan politik kepartian, kita membawa harga diri Islam. Bukan bertanding ejekan ‘troll’ siapa yang paling berbisa. Bukan cabar-mencabar cakap siapa yang paling besar. Bukan menjuarai isu, sebaliknya menyediakan solusi bagi isu. Rakyat mahu menilai idea yang kita tawarkan.

Pada masa yang sama, kita perlu sedar bahawa politik kita berurusan dengan manusia. Sifat manusia senang bersimpati dengan pihak yang sering diserang secara ‘overkill’, sungguhpun pihak tersebut bersalah. Barangkali kredit simpati itulah yang dinikmati oleh UMNO BN menjelang PRU14.

Era kemenangan Pakatan Pembangkang dan tertiarapnya BN sejak 2008, menjadi satu detik yang terkandung pelbagai pengajaran. Antaranya betapa kita perlu menjauhi sikap ‘underestimate’ terhadap musuh politik.

Silap sekiranya kita menganggap UMNO bodoh dan hanya menunggu saat untuk ditalkinkan. Buktinya, kita lihat lewat setahun dua kebelakangan ini, mereka berjaya mengubah senario. Sekarang siapa yang kelam kabut? UMNO BN atau Pakatan Pembangkang? Siapa yang cukup selesa menghadapi PRU kali ini?

⚫ Ambil Kira Golongan Atas Pagar.

Jika kita bertanya pada penyokong tegar parti masing-masing, mereka telah solid dan kurang terpengaruh dengan suasana politik. Kekhuatiran yang dikemukakan di atas, hanya terlihat sekiranya kita menyelami pandangan golongan atas pagar terhadap kualiti politik negara kita. Apakah kita lupa, merekalah yang akan menjadi batu pemberat bagi setiap neraca keputusan pilihanraya?

Justeru jika mahu mengungkapkan apa-apa, perhatikan sama apakah ia akan meyakinkan mereka terhadap dasar Islam yang kita bawa. Atau yang membimbangkan kita, hanya menambah muak mereka terhadap politik.

⚫ Inilah Jalan Kita.

Pertarungan kali ini amat unik. Jika melihat situasi Ahzab, pasukan Nabi cekal bersendirian lalu menang. Yang membimbangkan adalah, kita terus merasa selesa dan cukup dengan angka yang ramai. Tanpa sedar, melonggarkan kebergantungan dengan Allah. Demikianlah sirah mengajar kita.

Justeru tetaplah kita dengan politik Islam. Mengilmukan rakyat dengan solusi Islam. Satu-satunya jalan yang mengeluarkan rakyat dari kegelapan kepada cahaya.

Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
7 Oktober 2017.