Home Artikel PAS Selangor

PAS KLANG | “Apabila Firaun Mengkafirkan Nabi Musa”

72 views
SHARE


APABILA FIRAUN MENGKAFIRKAN NABI MUSA.

Kisah-kisah sejarah di dalam al-Quran kekal segar untuk dirujuk, kerana ia menceritakan tabiat manusia dengan pelbagai wajah. Kitaran sikap dan perangai watak-watak di dalam al-Quran akan turut kekal seperti kekalnya kitab suci tersebut.

Nabi Musa vs Firaun.

Allah menceritakan betapa gigih dan tegasnya Nabi Musa memperingatkan kepada Firaun berkenaan batasan iman dan kufur. Nabi Musa menawarkan khidmat tunjuk ajar kepada Firaun agar dia kembali insaf:

فَقُلْ هَل لَّكَ إِلَىٰ أَن تَزَكَّىٰ • وَأَهْدِيَكَ إِلَىٰ رَبِّكَ فَتَخْشَىٰ
“Maka katakanlah kepada Firaun: “Adakah kamu ingin menyucikan dirimu dari kesesatan? • Dan mahukah aku tunjukkan kepadamu jalan Tuhanmu agar engkau takut kepadanya?” – al-Nazi’at 18-19.

Firaun Mula Berkasar.

Setelah nasihat demi nasihat secara lembut telah diberikan oleh Nabi Musa, Firaun tetap berdegil. Bahkan Firaun mula menuduh kononnya Nabi sedang tersampuk kesesatan:

إِنِّي لَأَظُنُّكَ يَا مُوسَىٰ مَسْحُورًا
“Sesungguhnya aku merasakan kamu wahai Musa telah tersampuk sihir” – al-Isra’ 101.

Lalu Nabi Musa membalas:

وَإِنِّي لَأَظُنُّكَ يَا فِرْعَوْنُ مَثْبُورًا
“Dan sesungguhnya aku pula merasakan kamulah yang akan hancur binasa” – al-Isra’ 102.

Firaun Menuduh Kononnya Nabi Musa Kafir.

Dengan keterangan-keterangan yang telah dikemukakan oleh Nabi Musa, Firaun tetap buat-buat tidak faham. Bahkan Firaun bersikap loyar buruk dengan mengembalikan segala peringatan wahyu untuk mendakwa Nabi Musa. Firaun menyelar Nabi Musa:

وَفَعَلْتَ فَعْلَتَكَ الَّتِي فَعَلْتَ وَأَنتَ مِنَ الْكَافِرِينَ
“Dan engkau (Musa) telah melakukan kesalahan dari perbuatan engkau. Dan engkaulah di kalangan orang-orang yang kafir” – al-Syu’ara’ 19.

Tidak Faham Bahasa.

Jika kita melihat sikap Firaun, dia cukup degil menerima ajaran Islam yang telah dijelaskan berulang kali oleh Nabi Musa.

Syeikh Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi menjelaskan:

“Firaun enggan berinteraksi dengan topik yang dikemukakan oleh Nabi Musa dengan sewajarnya. Dia tidak mahu berfikir secara serius. Sebaliknya Firaun mengolah nasihat Nabi Musa sebagai serangan peribadi antara dirinya. Lebih malang lagi, Firaun hanya mahu memahami topik yang diutarakan oleh Nabi Musa berdasarkan kefahaman dangkalnya sahaja. Bukan berdasarkan keterangan Nabi Musa. Ini semua bertitik tolak dari sikap ego yang dijulang oleh Firaun”

Dangkal.

Bayangkanlah betapa dangkalnya Firaun, apabila Nabi Musa menyampaikan peringatan berkenaan batasan iman dan kufur, tiba-tiba Firaun menuduh Nabi Musa pula yang kafir.

Yang pasti, Firaun telah mati. Namun Firaunisme masih hidup.

Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
3 Januari 2018