Home Kenyataan Media Presiden PAS

PAS kecam Trump isytihar Baitul Maqdis ibu negara Israel

831 views
SHARE

 

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam tindakan Donald Trump mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel yang disifatkan mencabar kesabaran umat Islam dan mencemarkan kesucian bumi Al-Quds.

Keberanian Trumph disusuli selepas kejayaan Amerika-Zionis mencampuri urusan negara-negara Arab khususnya kejayaannya mengikat Arab Saudi sebagai rakan karibnya, melalui strategi mengapi-apikan semangat perkauman dan mazhab sehingga berjaya menimbulkan kekacauan dan huru-hara di Asia Barat. Situasi ini lagi membenarkan rahsia pemetaan dunia baru yang sedang berjalan supaya negara-negara Islam disibukkan dengan peperangan sesama sendiri sehingga mengabaikan perjuangan pembebasan Palestin dan Baitul Maqdis.

Sejarah tamadun dunia telah membenarkan hanya Islam sahaja yang berjaya mewujudkan keadilan kepada masyarakat majmuk dengan membenarkan penganut Kristian dan Yahudi untuk beribadat dengan bebas dan aman. Tiada harapan keamanan daripada Amerika dan Zionis yang bergelar ketua pengganas dunia dan pembunuh utama nyawa umat Islam.

PAS mengajak kepada semua umat Islam tanpa mengira kaum, mazhab dan fahaman politik untuk bersatu menentang pengisytiharan Trump ini.

Melalui kerajaan Malaysia, PAS mengharapkan Perdana Menteri menghantar surat bantahan kepada Rumah Putih dan memanggil segera Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan rakyat Malaysia. Baitul Maqdis adalah titik kesatuan umat Islam berpaksikan syariat Islam yang adil.

Justeru itu, PAS mengarahkan semua ahli untuk hadir himpunan aman membebaskan Baitul Maqdis di Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur dan di setiap negeri masing-masing pada 8 Disember 2017 serta menjemput NGO-NGO dan mahasiswa untuk turut hadir bersama.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh : 18 Rabiul Awal 1439 / 7 Disember 2017