Home Artikel PAS Kelantan

Merokok di zon larangan dikena ‘notis pendidikan’

13 views
SHARE

ORANG ramai yang merokok di kawasan larangan ditetapkan di bawah Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR) hanya dikenakan saman (notis) pendidikan dan bukan kompaun bermula awal bulan ini.

Kawasan larangan merokok tersebut diwartakan Kementerian Kesihatan di 10 lokasi yang meliputi bangunan dan kawasan lapang di lokasi tertentu.

Bagi lokasi bangunan termasuk kawasan Tambatan Diraja, Kota Bharu; Kompleks Saidina Ali, Kok Lanas; Pasar Beris Kubor Besar, Bachok; Bangunan Rumah Kedai Taman Indah, Terbok, Tumpat; Bandar Baru Apam, Pasir Mas; Dataran Pechong, Tanah Merah dan Pasaran Pasaraya PKT, Guchil.

Pegawai khas Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO, Nasruddin Mahmood Muhaidin berkata, dakwaan pihak tertentu kompaun dikenakan bermula 1 Oktober lepas adalah tidak benar.

Katanya, saman yang dikeluarkan terhadap mereka yang didapati merokok di kawasan larangan tersebut sebenarnya merupakan notis pendidikan.

“Kompaun hanya dikenakan mulai 1 Januari 2018 terhadap mereka yang didapati merokok di kawasan larangan ditetapkan kerajaan,” katanya di sini.

Kawasan IKBAR diwartakan Kementerian Kesihatan bertujuan melindungi masyarakat daripada bahaya asap rokok.

Nasruddin juga berkata, membudayakan amalan tidak merokok dalam kalangan rakyat Kelantan dengan mengehadkan kawasan yang dibenarkan merokok terutama di kawasan tumpuan awam. – HARAKAHDAILY 3/10/2017