Home Artikel PAS Selangor

Maulidur Rasul 1439H : Perutusan Ketua Muslimat PAS Selangor

37 views
SHARE

PERUTUSAN KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI SELANGOR SEMPENA MAULIDUR RASUL 1439H

12 Rabiul Awal telah melakarkan sejarah agung dunia dengan kelahiran baginda Rasulullah SAW, membawa rahmat keseluruh alam ini. Allah SWT telah mengutuskan seorang Rasul untuk menyampaikan risalahnya dengan berpandukan Al-Quran dan sunnah baginda. Allah SWT menjadikan baginda sebagai qudwah kepada semua ummat manusia. Setinggi-tinggi kesyukuran perlu dipanjatkan kerana Allah SWT menjadikan kita dalam golongan ummat baginda Rasulullah SAW.

Kesempurnaan Allah SWT ada pada diri Rasulullah SAW, umat Islam dituntut untuk mencintai Rasulullah SAW lebih daripada diri sendiri.

“Barang siapa memilikinya, ia dapat merasakan manisnya iman, iaitu cinta kepada Allah dan Rasul melebihi cintanya kepada selain keduanya, cinta kepada seseorang karena Allah dan membenci kekafiran sebagaimana ia tidak mau dicampakan ke dalam api neraka.”
(H.R Bukhari-Muslim).

Justeru, tuntutan mencintai Rasulullah SAW membawa kepada cinta Allah SWT. Tarbiyah baginda kepada ummat manusia begitu besar iaitu membawa manusia keluar daripada kegelapan kekafiran dan kembali kepada Allah SWT. Rasulullah SAW dan para sahabat menggembleng tenaga, jiwa dan harta untuk menyebarkan Islam ke pelusuk dunia. Sewajarnya , ummat manusia dizaman ini menghargai kehadiran cahaya Islam dalam diri mereka dan bumi Malaysia ini.

Ulamak telah menyenaraikan beberapa tugas besar baginda Rasulullah SAW antaranya tabligh al-ahkam (menyampaikan hukum-hukum Allah), tanfizul al-hukmi (melaksanakan hukum Allah) dan tazkiyatun anfus (penyucian jiwa). Ketiga tugas ini perlu diwarisi oleh khalifah Allah sehingga hari kiamat dan Parti Islam Semalaysia (PAS) berusaha untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab ini seiring dengan waqi’ di Malaysia.

Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor menyeru kepada semua masyarakat agar sentiasa meningkatkan manifestasi cinta kepada baginda Rasulullah SAW, berusaha sehabisnya untuk mempertahankan ajaran Allah SWT, berazam untuk mengamalkan sunnahnya dan berakhlak dengan akhlaknya.

Salam Maulidur Rasul 1439H

_#Pertegas Prinsip Perjuangan_
_#Muslimat Memacu Kemenangan_
_#Sejahtera Bersama Islam_

Ustazah Hjh Wan Hasrina Binti Wan Hassan
Ketua
Dewan Muslimat
PAS Negeri Selangor.

12 Rabiul Awal 1439H |
1 Disember 2017