Home Kenyataan Media Presiden PAS

Lebuhraya Politik

461 views
SHARE

Kenyataan Media Presiden PAS

LEBUHRAYA POLITIK

Muamalat Politik Islam adalah berkonsepkan kepimpinan Islam yang wajib dipertahankan, demi menegakkan konsep rahmat kepada seluruh alam dan adil terhadap semua. Maka lebuhraya hubungan dengan semua pihak sangat luas. Namun politik damai hendaklah diutamakan.

PAS tidak hanyut dan dihanyutkan sekali-kali Insya Allah oleh sesiapa sahaja yang mahu memaksa, menipu atau melakukan provokasi untuk mengheret PAS sehingga terkeluar daripada landasan prinsip, konsep Islam dan strategi kebijaksanaan dalam perjalanannya.

Majlis Syura Ulama, Dewan Harian, AJK PAS Pusat menentukan keputusan secara jama’ie (kolektif) dan Muktamar yang melibatkan akar umbi bagi membuat keputusan yang besar, supaya PAS bukan parti milik seorang atau kumpulan tertentu sehingga terkeluar daripada konsep dan adab berjemaah.

PAS berpengalaman secara bersendirian, kerajaan campuran dan bekerjasama dengan semua pihak dengan berbagai pendekatan, bukan sekadar satu, dua, tiga dan empat pendekatan, bahkan lebih daripadanya.

Kini diperkenalkan pendekatan Ta’awun berpandukan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢ المائدة

“Bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah Al-Maidah: 2)

Dan pendekatannya terus menjadi pembangkang yang menasihat berpandukan tema yang sentiasa dibaca dalam setiap perjumpaan:

وَٱلۡعَصۡرِ ١ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ ٢ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ ٣

“Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2) Melainkan mereka yang beriman, mengerjakan amal soleh dan berpesan (nasihat) dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran. (3)” (Surah Al-Asr: 1-3)
Perjalanan Politik Islam itu bukan sekadar Pilihanraya Umum (PRU) untuk berkuasa dan mendapat kuasa dengan apa sahaja caranya, termasuk juga dalam Politik Islam itu adalah berdakwah dan mendidik masyarakat.

Perjalanannya ialah:

Mewajibkan kepimpinan yang bercirikan Islam tanpa menentukan siapa yang menjadi Perdana Menteri, kerana perjuangan kita bukan mengangkat orangnya, tetapi dasar dan matlamatnya untuk mencapai keredaan Allah dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Allah lebih mengenali siapa orangnya sama ada ikhlas atau tidak, termasuk beriman dan budimannya, kerana orangnya boleh berubah dan hanyut.

Apabila ditanyakan Rasulullah S.A.W: “Siapakah yang menjadi pemimpin kalau mendapat kemenangan?”. Jawabnya: “Mengikut kehendak Allah”. Padahal Rasulullah S.A.W. ialah orang yang paling layak.

Menegakkan Rahmat Allah dan Adil terhadap semua tanpa mengira agama dan kaum yang hanya boleh dilaksanakan oleh Islam dan kepimpinannya yang beriman, budiman dan berilmu.

Memilih pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), mengeluarkan PAS daripada budaya politik fitnah, maki hamun dan bermusuhan yang sedang melanda semua pihak. Sedikit sebanyaknya mempengaruhi ahli PAS yang wajib dibebaskan daripadanya.

Kerjasama bukan semestinya sebelum pilihanraya, sedang pilihanraya, termasuk juga selepas keputusan pilihanraya bagi menentukan Islam tetap memimpin masyarakat majmuk berdasarkan dan berkonsepkan Islam yang wajib dipertahankan oleh PAS.

PAS wajib menolak kalangan yang nyata menentang Islam dan PAS bekerjasama dengan siapa sahaja yang tidak menolak Islam.

Kini PAS bebas menentukan di mana dan berapa jumlah kerusi yang hendak dipertandingkan bersama gagasannya, tanpa terikat dan diarahkan oleh pihak lain.

PAS terus bersabar dan boleh menerima kekalahan dengan reda, bukan sahaja kemenangan tanpa berfikir untuk mengisi kemenangan. Wawasan PAS sangat luas, bukannya dunia yang sempit, tetapi terus beristiqamah bersama Islam, daripada dunia yang luas sehingga akhirat yang kekal.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 4 Safar 1439 / 25 Oktober 2017