Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Abu Lubabah

130 views
SHARE

SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 16)

ABU LUBABAH
Sebaik-baik Pendosa 

Beliau memeluk Islam ditangan beberapa orang sahabat yang menyertai Bai’ah Aqabah pertama bersama Rasulullah SAW, tiga tahun sebelum peristiwa hijrah. Tahun berikutnya, Abu Lubabah bersama 69 orang lelaki dan 2 wanita yang diislamkan oleh generasi pertama Ansar tersebut telah pergi ke Makkah bagi menemui Nabi SAW, dan melakukan Baiah Aqabah kedua.

Dalam baiah kedua itu, Rasulullah SAW melantik 12 orang lelaki sebagai Naqib sebelum mereka pulang berdakwah di Madinah. Salah seorangnya adalah Abu Lubabah.

Para nuqaba’ ini gigih menjalankan tugas dakwah, sehingga satu rumah yang ada di Madinah, melainkan kesemuanya telah ditembusi dengan cahaya dakwah Islam, s

ebelum Baginda SAW sampai ke tanah suci itu.

Sejak mengangkat baiah taat setia untuk berjuang mempertahankan Islam dan sanggup berkorban demi Allah dan Rasulnya, Abu Lubabah berpegang teguh dengan bai’ah itu tanpa sekali-kali berkhianat. Beliau menyertai setiap peperangan dengan niat untuk syahid.

Walaupun tidak dapat menyertai perang Badar kerana ditugaskan oleh Rasulullh menggantikan dirinya untuk menjaga Madinah, tetapi beliau dikira sebagai ahli badar, menerima ganjaran ahli Badar dan menerima bahagian dari ghanimahnya.

Dalam misi mengepung penempatan Yahudi Bani Quraizhah yang khianat dalam perang Khandaq, Abu Lubabah telah melakukan kesilapan. Ceritanya bermula apabila Rasulullah SAW telah membuat keputusan menghukum bunuh terhadap golongan lelaki yang memerangi mereka, sementara yang lain diusir keluar. Tetapi keputusan ini dirahsiakan dari pengetahuan Bani Quraizhah kerana mereka masih belum menyerah kalah.

Setelah kepungan berlarutan, Bani Quraizhah meminta Rasulullah melantik Abu Lubabah menjadi perunding bagi pihak Islam, dan mengutuskannya berjumpa mereka. Ini kerana Abu Lubabah sebelum ini memiliki hubungan perjanjian dengan mereka.

Abu Lubabah pergi berjumpa mereka. Mereka bertanya pendapat Abu Lubabah:
“Adakah kamu bersetuju kami menyerah mengikut perintah Muhammad wahai Abu Lubabah?”

“Ya.” Jawab Abu Lubabah. Dalam waktu yang sama, beliau mengisyaratkan dengan tangan di lehernya, dengan maksud bahawa Rasulullah telah perintahkan bunuh terhadap mereka.

Saat itu juga Abu Lubabah tersedar, beliau telah membocorkan rahsia Rasulullah. Beliau terus diselubungi rasa bersalah, dan menganggap dirinya sebagai pengkhianat.

Beliau merasakan dirinya sudah dimurkai Allah. Pada waktu itu kepalanya hanya memikirkan bagaimana mahu melepaskan diri dari kemurkaan itu.

Beliau tidak pulang bertemu Rasulullah, sebaliknya menuju ke rumah dan mendapatkan rantai besi dan terus menuju ke masjid nabawi. Kemudian beliau meminta dirinya diikat di salah satu tiang masjid dalam keadaan berdiri.

Selesai diikat, Abu Lubabah bersumpah:
“Demi Allah aku tidak akan lepaskan diri, tak akan makan dan minum sehinggalah Allah menerima taubatku, ataupun aku mati.”

Tatkala Rasulullah melihat Abu Lubabah, baginda bersabda:
“Sekiranya dia datang berjumpa denganku dahulu, nescaya akan aku ampunkan beliau. Tapi dia memilih cara ini. Aku tidak boleh melepaskannya sehingga Allah sendiri yang melepaskannya.”

Abu Lubabah terus diikat sedemikian berhari-hari lamanya, sehingga tubuhnya menjadi lemah, layu, pandangan mulai kabur, dan pendengaran semakin kurang.

Anak-anaknya tidak putus menziarahi dan menangisi keadaan Abu Lubabah. Namun beliau hanya meminta dibebaskan untuk bersolat, kemudian kembali diikat. Sesiapa yang melihat keadaan Abu Lubabah pasti akan bersedih, tetapi beliau tetap dengan pendirian tersebut.

Enam hari berlalu, Abu Lubabah masih dalam keadaan demikian. Hinggalah pada lewat malam ke tujuh, isteri Nabi, Ummu Salamah mendengar baginda tertawa kegembiraan usai qiamullail.

Ummu Salamah bertanya:
“Kenapa tuhan membuatkan gigimu tertawa wahai Rasulullah?”

Jawab baginda:
“Allah sudah mengampunkan Abu Lubabah..”

Ummu Salamah terus meminta izin menyampaikan khabar gembira itu kepada Abu Lubabah. Baginda mengizinkan dan sepantas kilat Ummu Salamah pergi ke masjid dan berkata:
“Wahai Abu Lubabah. Bergembiralah sekarang. Allah telah menerima taubatmu.”

Mendengar kata-kata Ummu Salamah, para sahabat yang ada ketika itu pantas menerpa ke arah Abu Lubabah untuk melepaskannya. Namun Abu Lubabah berkata:
“Jangan! Demi Allah. Biar Rasulullah sendiri yang membukanya nanti.”

Tiba waktu solat, Rasulullah pun keluar. Maka baginda melepaskan ikatan Abu Lubabah dengan tangan mulia baginda sendiri.

Tiada siapa dapat menggambarkan tahap kegembiraan Abu Lubabah apabila Allah sendiri yang menurunkan wahyu mengampunkannya. Sejak hari itu, setiap kali membaca ayat yang diturunkan mengenainya itu, beliau akan menangis kegembiraan:

“Dan ada yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang buruk. Sungguh Allah menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[At-Tawbah:102]

Tiang itu menjadi saksi taubat seorang hamba. Sejak hari itu, tiang tersebut digelar sebagai tiang Abu Lubabah, ataupun tiang taubah. Siapa ke Masjid Nabawi, akan melihat sebuah tiang di satu sudut terukir nama Abu Lubabah dan taubatnya.

Abu Lubabah adalah cerminan peribadi muslim yang sejati. Rasa bertanggungjawab beliau terhadap Islam amatlah tinggi. Tidak dinafikan setiap manusia tidak bebas dari kesilapan. Tetapi kesilapan beliau membawa mudarat kepada gerakan Islam. Kerana itu beliau tidak dapat memaafkan dirinya.

Kisah ini juga mengajar prinsip baraa’ bagi sesebuah gerakan Islam. Walaupun kita memiliki hubungan yang baik dengan pihak lain samada kerana jasa mereka atau hubungan kekeluargaan dengan mereka, hubungan tersebut tidak sekali-kali boleh mempengaruhi gerak kerja kita dalam jemaah.

Semoga kita dikurniakan iman, taqwa, tajarrud dan baraa’ sehebat Abu Lubabah.

16 Ramadhan 1438
11 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}