Home Artikel PAS Johor

Kemeriahan AidilAdha Eratkan Ukhuwah Ahli PAS Cawangan Puteri Wangsa

37 views
SHARE

Puteri Wangsa, 14 September 2017 – Pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup mengorbankan puteranya sendiri, Nabi Ismail a.s. membuktikan ketaatan seorang hamba kepada pencipta-Nya. Dengan mengambil ibrah (pengajaran) dari pengorbanan besar Nabi Ibrahim a.s., PAS Cawangan Puteri Wangsa tidak terkecuali menganjurkan Majlis Korban untuk sama-sama menghayati makna di sebalik pengorbanan.

Ibadah korban berlangsung di kediaman Yang Berhormat Ustaz Abdullah Bin Husin. Dua ekor lembu telah disempurnakan sembelihan oleh YB Ustaz Abdullah yang juga ADUN Puteri Wangsa, pada hari Ahad 3 September 2017, bersamaan dengan hari raya ketiga Aidiladha. Aktiviti yang diadakan secara bergotong-royong dari proses penyembelihan sehinggalah ke proses pengagihan daging telah mewujudkan suasana yang amat meriah di kalangan mereka yang hadir.

Tazkirah pengisian jiwa juga turut dikongsi YB Ustaz Abdullah Husin bagi memperingati pengorbanan besar Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. Majlis korban ini berakhir sekitar jam 1 petang selepas pengagihan daging dilakukan kepada penama bahagian, penduduk sekitar, dan juga petugas. Semoga ibadah korban ini memupuk kemesraan dan menambah keakraban hubungan sesama ahli khusunya, dan penduduk sekitar amnya.