Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Jual Lacur Anak: Dunia Semakin Tenat

208 views
SHARE

Jual Lacur Anak: Dunia Semakin Tenat 

‎وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

“Dan hendaklah takut kepada Allah, orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah (iman, ilmu dan amal), yang mereka khawatir terhadap kesejahteraan mereka, oleh sebab itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar”. (An-Nisaa’: 9).

“Setiap kamu adalah pemimpin yang akan dimintai pertanggungjawabannya atas apa yang telah dipercayakan kepadanya. Dan seorang ayah bertanggungjawab atas kehidupan keluarganya. Dan seorang ibu bertanggungjawab atas harta dan anak suaminya dan akan dimintai pertanggungjawaban atasnya “ (Hadis Riwayat Bukhari Muslim)

Di mana letakknya amanah dan kasih sayang seorang ibu? Semakin hari dunia kian tenat dan parah. Berita menyayat hati di Johor Bahru Mahkamah Sesyen telah menjatuhkan hukuman ke atas seorang ibu tunggal iaitu hukuman penjara 75 tahun, selepas ibu tunggal ini mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan menganiayai dan melacurkan dua anak kandungnya awal bulan lalu.

Anak itu suatu anugerah yang tidak ternilai dari Allah. Rasullullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi” (Hadis Riwayat Abu Dawud).

Ibu bapa perlu mencorakkan anak dari sejak lahir hinggalah cukup tempohnya. Anak ini ibarat kain putih, ibu dan bapa harus mendidik, memberikan tunjuk ajar dan tauladan yang terbaik kepada anak agar mereka dapat membesar mengikut acuan Islam dan dibesarkan dalam suasana mengamalkan sunnah dan berpegang teguh kepada Al Quran.

Memetik firman Allah;

‎يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لاَتَخُونُوا اللهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ , وَاعْلَمُوا أَنَّمَآ أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلاَدُكُمْ فِتْنَةُُ وَأَنَّ اللهَ عِندَهُ أَجْرُُ عَظِيمُُ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengkhianati Allah dan RasulNya, dan juga janganlah kalian mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu padahal kamu mengetahui. Dan Ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan, dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar. Surah Al Anfal:27, 28.

Justeru, renteran dari kejadian ini kami daripada Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru dan mengajak kepada para ibu bapa agar mengambil ibrah dari peristiwa ini. Hidupkan keluarga kita dengan zikrulllah, amalkan segala sunnah dan ajari anak-anak mengenal Pencipta, didiklah mereka dengan akhlak mulia dan budi pekerti yang mahmudah.

Selain itu, ibu bapa wajib sentiasa mencari dan menambah ilmu mengenai pendidikan mendidik anak-anak serta melazimi ke majlis kuliah agama agar jiwa dan hati dapat diisi dan segala ilmu dapat diprakktikkan.

Ibu bapa perlu kuat dan tabah mengharungi segala ujian, cabaran dan rintangan yang makin berliku. Perlu bijak dan proaktif untuk memperbaiki, meningkatkan dan menyelesaikan segala permasalahan yang akan dan bakal didepani. Terus bergantung kuat dan berpegang teguh pada tali-tali Allah yakni menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia.

Marilah kita berdoa dan terus berdoa agar keluarga, jiran, masyarakat dan anak bangsa kita akan terus dipelihara dan sentiasa diberikan petunjuk hidayah dariNya.

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
25 Safar 1439
14 November 2017