Home Kenyataan Media PAS Kelantan

‘Itu bukan kenyataan saya’

18 views
SHARE

TUMPAT – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menafikan satu mesej yang tular di media sosial adalah kenyataan beliau ketika Sidang Dun.

Dalam video itu, Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan mencadangkan supaya disisihkan 10 peratus sebulan hasil derma orang ramai di masjid untuk beli makanan asas seperti beras, sardin, susu bayi, gula dan lampin pakai buang, dan mana-mana penduduk setempat yang kesempitan duit untuk beli makanan asas, boleh ambil di masjid.

Ahmad berkata, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang tular sejak seminggu lalu.

“Walaupun itu satu cadangan baik, tetapi saya tidak pernah berucap seperti itu dalam sidang Dun.

“Lagi pun apa-apa perkara soal masjid ini di bawah urusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik),” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Cakna Rakyat Dun Pasir Pekan di Kem Kok Keli.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai program Cakna Rakyat Dun Pasir Pekan, beliau berkata, program itu mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.

Katanya, rakyat dapat bersua muka dan bertanya khabar dalam satu majlis kerajaan negeri yang turut melibatkan penyertaan agensi kerajaan.

“Kaunter bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara yang diserbu orang ramai untuk mereka memperbaharui lesen dan cukai jalan, semak saman dan pelbagai lagi.

“Kita bawakan perkhidmatan ini untuk memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan daripada agensi tersebut,” katanya.

Cakna Rakyat Dun Pasir Pekan turut dimeriahkan dengan pertandingan biri-biri cantik, gunting rambut percuma, sukan rakyat dan banyak lagi.  SINAR HARIAN 2/10/2017