Home Ensiklopedia Harian PAS

Ensiklopedia Harian PAS:The Young Muslim Union: Pergerakan Islam Terawal Di Pulau Pinang

1,049 views
SHARE


ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS

THE YOUNG MUSLIM UNION: PERGERAKAN ISLAM TERAWAL DI PULAU PINANG


PULAU Pinang mempunyai latar politik Islam yang berbeza dengan negeri lain di Malaysia kerana inilah negeri yang pertama dijajah oleh British pada 1786, setelah sekian lama menjadi wilayah Kedah. Kehadiran British telah membawa sama imigran dari China dan India untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti ekonomi di pulau itu. Orang-orang India dari pelbagai etnik telah berhijrah ke Pulau Pinang, termasuk sebahagiannya yang beragama Islam. Antara entik utama ialah Chulia (Tamil Muslim), Maraikkayar (Merican), Chettiar, Nagore, Rawther dan lain-lain. Berbanding dengan kebanyakkan etnik lain bermazhab Hanafi, kelompok Maraikkayar yang berasal dari Coromandel adalah bermazhab Syafie.

Selain imigran dari India, terdapat juga komuniti Cina Islam dari Kwantung, orang Arab dan orang Aceh, di samping orang-orang Melayu yang merupakan penduduk asal Pulau Pinang. Dengan bertambahnya komuniti Islam di pulau ini, pada akhir abad ke-19 mula muncul usaha-usaha mewujudkan persatuan orang Islam, terutama setelah jatuhnya Kesultanan Mughal di India pada 1857 dan terbentuknya persatuan-persatuan Islam di Riau dan Singapura sejak 1880. Berbeza dengan orang Melayu, orang India Muslim yang menerima kesan langsung dari kejatuhan Kesultanan Mughal telah terlebih dahulu mempunyai kesedaran politik organisasi.

Pada 1892, persatuan Islam yang pertama ditubuhkan dengan nama Peranakan Club, diketuai oleh K Patchee. Pada 1894, telah diwujudkan pula “tempat berhimpun” atau kelab yang digunakan oleh Jawi Peranakan Club, Muhammadan Cricket Club, SM Jamsyid Club dan The Muslim Recreation Club. Kelab-kelab ini merupakan persatuan-persatuan sosial dan sukan orang Islam yang tidak berbau politik, tetapi menjadi sekumpulan organisasi orang Islam yang terawal wujud di Pulau Pinang menjelang abad ke-20.

Di samping itu juga sejak 1880-an telah wujud usaha menubuhkan badan perniagaan Islam di kalangan orang Tamil Muslim, Jawi Peranakan, Arab dan Aceh sehingga akhirnya berdiri Muslim Merchant Society pada 1912 dan Muslim Mahajana Sabha pada 1914. Sebuah pertubuhan yang lebih penting telah ditubuhkan sebagai kelab inteligen orang Islam di kalangan mereka yang terpelajar ialah Association of Young English Educated Muhammadan yang ditubuhkan pada 1 Januari 1911. Badan ini boleh dianggap yang pertama berbau politik di Pulau Pinang kerana tujuannya untuk menggalakkan orang Islam membaca akhbar, belajar bahasa asing dan juga membuat persediaan untuk menyertai perkhidmatan kerajaan.

Setelah itu ia mula berkembang pesat, dengan pengaruh Madrasah al-Mashoor yang didukung oleh ramai reformis Islam dan peranan akhbar seperti Jawi Standard, Cahaya Pulau Pinang, Tanjung Penegeri, Bintang Timor, Jajahan Melayu dan Saudara, kesedaran politik mulai meningkat pada dekad 1920-an. Ini didorong juga oleh pengaruh Gerakan Khalifat yang berpusat di India pada 1919-1921 di mana mereka berusaha mempertahankan Khilafah Othmaniyah daripada jatuh seperti Kesultanan Mughal sebelumnya. Kesedaran politik ini kemudiannya menyebabkan Association of Young English Educated Muhammadan bertukar menjadi pergerakan politik Islam yang lebih jelas dengan nama baru, The Young Muslim Union (YMU) pada 1926 yang dianggotai oleh golongan elit berpendidikan Inggeris.

YMU mempunyai tiga tujuan utama iaitu I) memelihara dan mengangkat nama anak-anak Islam di Pulau Pinang; II) melatih ahli-ahli supaya gemar membaca akhbar dan menjaga kesihatan; dan III) menggalakkan ahli-ahli bersahabat antara satu sama lain. Walaupun persatuan ini bersifat terhad dari segi keahliannya, tetapi ia memberi pengaruh yang besar terhadap kesedaran politik Islam pada dekad berikutnya. Pada 1927, orang-orang Melayu dan Jawi Peranakan telah menubuhkan pula Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) yang sebahagian pemimpinnya lahir dari YMU. Hasil dari galakan membaca yang dibuat, akhbar Saudara yang diterbitkan oleh Syed Sheikh al-Hadi di Pulau Pinang telah berjaya mewujudkan persatuan pembacanya dengan tertubuhnya Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) pada 1935 dengan dipimpin oleh SM Zainal Abidin, tokoh yang diasuh oleh YMU. Pada 1945, muncul pula Persatuan Melayu Seberang Perai (PMSP) yang dipimpin oleh Haji Ahmad Badawi Abdullah.

Dalam bulan Mei 1946, PMSP, Kesatuan Melayu Pulau Pinang (KMPP) dan Pemenang telah menyertai Kongres Kebangsaan Melayu yang menubuhan Umno, di mana PMSP dan KMPP telah menyerap dalam Umno, sedangkan Pemenang kekal sebagai badan berasingan yang menyokong Umno. Tokoh-tokoh India Muslim, Arab, Jawi Peranakan dan Melayu yang diasuh oleh YMU terus memainkan peranan penting dalam politik Pulau Pinang apabila para ulamak menubuhkan PAS pada 1951.

Dalam Persidangan Pertubuhan Ulamak Malaya pada 24 November 1951, beberapa tokoh YMU seperti BD Merican, Merican Mohd Yusof, Haji Ibrahim Aqibi, Baharum Shah Bukhari dan lain-lain turut hadir sebagai peserta persidangan yang menukar nama pertubuhan menjadi PAS. Dalam tahun 1952, dengan kesedaran politik yang terbina melalui YMU, mereka telah membuka cawangan PAS yang pertama di Tanah Melayu iaitu PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang. Tokoh-tokoh mereka yang menonjol ialah Sheikh Ibrahim Aqibi, SA Rahman, MY Merican, BD Merican, Kassim Baba, Abdullah Mohd Mian Ibrahim, Kassim Ali Hashim Ali, Mohd Sulaiman Babachan dan Sharifah Rahmah al-Mashoor. Walau bagaimanapun, kerana krisis Kaum Muda – Kaum Tua, mereka tidak lagi aktif dalam PAS sejak akhir 1953.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
1 Jun 2017

 {jathumbnail off}