Home Minda Presiden

Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS): Berdakwah Bukan Menuduh

1,035 views
SHARE

Minda Presiden PAS
BPMS: BERDAKWAH BUKAN MENUDUH

Firman Allah:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ (33) وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ (34) وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ (35) وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (36) (سورة فصلت: ٣٣-٣٦)

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (Islam), serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam! (Tegas beristiqamah tanpa sembunyi)” (33) Dan tidaklah sama (kesannya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang lebih baik. Apabila Engkau berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan (bertukar) menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (34) Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar yang di kurniakan (daripada Allah kebahagiaan dunia dan akhirat). (35) Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.(36)” (Surah Fussilat: 33-36)

Demikianlah petunjuk Allah kepada Rasulullah S.A.W dan pengikut yang menyambung perjuangannya di sepanjang zaman. Berdakwah dan berpolitik secara matang dan sejahtera untuk menyelamatkan manusia bersama Islam seramai mungkin, walaupun terpaksa mengorbankan diri, laksana lilin yang bersedia membakar diri, demi memberi cahaya kepada semua. Bukan laksana monyet yang melompat dan bergayut mencari-mencari di pokok yang kelihatan lebat buahnya. Sepatutnya menjadi seperti pokok yang berbuah, bersedia menggugurkan buah yang masak kepada kanak-kanak nakal yang melontarkan batu dan kayu ke arahnya.

Maka Rasulullah S.A.W memaafkan orang yang memfitnah, orang yang cuba membunuhnya dan telah membunuh para sahabat dan keluarga kesayangannya. Sebabnya adalah fadilat menyelamatkan seseorang bersama Islam membawa kebaikan di dunia dan pahala yang berpanjangan sehingga ke Hari Akhirat.

Apabila mencapai kemenangan Fathu Makkah yang berada dalam keadaan paling kuat, Baginda S.A.W mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai, termasuk kepada kalangan yang disenaraikan kesalahan yang besar dan berat. Bukan seperti Revolusi Barat (Liberal Kapitalis) dan Timur (Komunis dan Sosialis) yang mengorbankan mangsa dendam yang jumlahnya sangat menggerunkan. Benarlah apa yang berlaku selepasnya, mereka yang bermusuh itu menjadi sahabat yang setia dan rela berjuang bersama menegakkan Islam.

Generasi awal PAS dapat menyaksikan kesusahan dan pengorbanan sejak perjuangan menentang penjajah sehingga pasca kemerdekaan dan selepasnya. PAS menyokong ISA kerana menentang komunis yang masih bermaharaja lela dan mengancam keselamatan negara. PAS menyertai kerajaan campuran dan penubuhan BN selepas Peristiwa 13 Mei 1969 kerana mengukuhkan kedudukan umat Islam. Namun selepasnya, PAS pula menjadi mangsa ISA, dirampas kerajaannya di Kelantan, Peristiwa Memali yang mengorbankan pengikut setianya, dicekik Kelantan selepas kemenangan 1990 supaya tidak bernafas, dirampas royalti Terengganu apabila PAS berjaya memerintah semula 1999 dan dinafikan juga hak Kelantan.

Namun, PAS telah berjaya menyelamatkan umat Islam yang jahil akidahnya sehingga dicetuskan isu kafir mengkafir oleh gejala menghina hukum Islam disebabkan kejahilan umat dan kelemahan para ulama, serta kerakusan pemimpin negara menghina Islam. PAS mengambil pendekatan dakwah bukannya menghukum yang menjadi lapangan para mufti dan qadi yang sangat malang dipenjarakan oleh undang-undang warisan penjajah yang belum dirungkai.

PAS mengambil pendekatan menyatakan batas-batas iman dan kufur sehingga berjaya menyedarkan umat dan melenyapkan suara menghina Islam di kalangan umat Islam sendiri. Kini hanya tinggal suara yang terpencil laksana harimau tua tidak bergigi yang melepak di hutan rimba, dan kalangan bukan Islam yang memberanikan diri tanpa menghormati Perlembagaan Persekutuan dan sensitiviti umat Islam yang telah bangkit semula bersama arus kesedarannya.

PAS terus memilih demokrasi yang sinonim dengan ajaran Islam, bukannya demokrasi yang menipu rakyat yang masih jahil dan bodoh politiknya. Kalaulah rakyat Amerika yang dikatakan paling maju dan bebas, boleh terbabas memilih Presiden yang samseng dan bodoh semata-mata kerana kaya hartanya dan penguasaan media oleh Zionis, sehingga nafsu memintas akalnya. Maka kewajipan kita menyelamatkan rakyat di sini supaya tidak memilih yang dikitar semula melalui filem lama yang ditayangkan, khususnya kepada Melayu yang mudah lupa. Apa yang dibimbangkan pengaruh media sosial tanpa sempadan yang boleh menjadi tentera upahan musuh Islam.

PAS wajib memperkenalkan budaya politik damai tanpa perpecahan rakyat, sama ada kalangan umat Islam yang berbeza pendekatan dan rakyat bukan Islam yang berbeza agama dan budaya.

PAS menegaskan Islam wajib memimpin dan memerintah atau mempengaruhi pemerintah dengan nasihat yang wajib menegakkan konsep adil terhadap semua dan memelihara hak asasi manusia tanpa mengira agama dan bangsa.

PAS mengambil pendekatan bertanding dalam pilihan raya tanpa berkelahi dan berpecah, melalui konsep ta’awun.

PAS mesti bertanding seberapa banyak kawasan kerana cita-cita memerintah negara, bukannya angan-angan Mat Jenin yang memanjat pokok yang berbuah sahaja walaupun bergayut di dahan yang rapuh sehingga membunuh diri sendiri, kerana budaya PAS bukan memanjat pokok yang berbuah, tetapi sanggup memanjat pokok yang tidak berbuah dan belum berbuah kerana keyakinannya akan berbuah apabila tiba masanya kalau dibajakan atau dicantas dahannya. PAS sabar berlalunya masa yang panjang, biar lambat asalkan selamat.

Al-Quran memaparkan kisah yang benar apabila Nabi Nuh A.S yang dikatakan mustahil mencapai kemenangan bersama segelintir pengikut dalam perjuangan yang terlalu panjang masanya, akhirnya mencapai kemenangan dengan izin Allah. Selain itu, dipaparkan juga kisah yang benar, apabila Nabi Musa dan Harun A.S yang dianggap mustahil dapat menjatuhkan Firaun yang kaya dan kuat, serta terlalu ramai bala tenteranya, namun Allah menenggelamkannya dengan mudah ke dalam laut.

Sejarah Islam memaparkan kaum Tartar yang paling ganas membakar dan membunuh Baghdad dan pusat kerajaan Islam Abbasiyah, akhirnya kalangan pemimpin kaum Tartar juga menganut Islam dan menegakkan Islam. Ini membuktikan Islam berjaya menempa sejarah luar biasa dapat mempengaruhi penjajahnya kerana berkat jati diri beristiqamah bersama Islam, walaupun kebiasaannya rakyat akan terpengaruh dengan penjajahnya. Firman Allah:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (آل عمران: ٢٦)

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Ali-Imran: 26)

Paling penting ialah terus beristiqamah bersama Islam, setia kepada baiah, taat kepada pemimpin selagi tidak bercanggah dengan Islam daripada nas yang nyata, sama ada bersetuju atau tidak apabila telah diputuskan. Inilah adab dan akhlak kita berjamaah yang ditunjuk oleh Allah dan diajar oleh Rasulullah S.A.W.  Kalau tidak, maka sia-sia di dunia yang dicita-citakan dan celaka di Akhirat yang menjadi wawasan.

Politik Islam berkonsepkan budaya matang dan sejahtera, tidak sama dengan politik barat sehingga matlamat menghalalkan cara yang haram dan merosakkan dunianya dan tidak ada wawasan Akhirat.

 

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 12 Jamadil Awal 1439 / 29 Januari 2018