Home Kenyataan Media PAS Kedah

Bajet Kedah 2018; Untuk Tarik Sokongan Rakyat dalam PRU 14

70 views
SHARE


Sepintas lalu, pembentangan Bajet Negeri Kedah 2018 oleh Menteri Besar kelihatan mengkagumkan orang ramai. Apapun ianya tidak lebih dari bertujuan menarik sokongan politik rakyat Kedah kepada kerajaan hari ini dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.


PAS Kedah mengambil sikap menyokong perkara-perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat. Pada masa sama kritikal dalam hal yang meragukan, mengenepikan keutamaan serta perkara yang mendatangkan kerugian kepada rakyat.


Sebagai contoh, pemberian air percuma 20 meter padu kepada rakyat adalah baik, namun persoalan yang menyusul ialah, apakah pemberian berkenaan dapat menyelesaikan masalah air yang dihadapi oleh rakyat? Apakah usaha yang dibuat oleh kerajaan untuk mengurangkan ‘Air Tidak Berhasil’ (NRW) yang mencecah 46.7 peratus daripada sumber air bersih? Apakah status permohonan sejumlah RM 50 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk penambahbaikan infrastruktur bagi penggantian paip asbestos berumur tidak kurang daripada 30 tahun seperti yang dinyatakan oleh exco tahun lalu? Pemberian air percuma seolah-olah mahu menutup pelbagai kelemahan dalam pengurusan air yang akibatnya terpaksa ditanggung oleh rakyat.


Umum akan tertanya-tanya mengenai rasional projek bekalan air luar bandar menerusi peruntukan pinjaman yang menelan belanja hampir RM 1 billion untuk menaik taraf beberapa logi air, sedangkan Kerajaan Persekutuan boleh memperuntukan sejumlah geran kepada Negeri Kedah bagi menaik taraf prasarana pempaipan dan agihan air bersih. 


Selain itu, kerajaan juga dilihat lebih berminat untuk berbelanja besar dengan kadar defisit tinggi apabila menganggarkan sebanyak RM 75.72 juta defisit pada tahun 2018. Sebaiknya, kerajaan berusaha meminimumkan jangkaan kadar hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan dengan pelan-pelan strategik menerusi peningkatan hasil negeri serta hemah berbelanja dalam menghadapi ketidakstabilan ekonomi global. 


Renungilah kisah Nabi Yusuf a.s ketika mencadangkan rancangan tujuh tahun kepada Raja Mesir yang akhirnya dapat menyelamatkan seluruh rakyat negara itu daripada musibah kemarau serta krisis kebuluran.


Bagi PAS Kedah, Bajet Kedah 2018 merupakan ‘Bajet Pilihanraya’, bahkan rakyat masih tertunggu-tunggu apa lagi hadiah yang akan diberikan kepada mereka. Beri, ambil. Undi, PAS.


Dr. Ahmad Fakhrudin bin Sheikh Fakhrurazi

Pesuruhjaya PAS Kedah.
15 November 2017